Sunday, April 6, 2008

Latar Belakang Pengajian akademi al-Faqeh

Latar Belakang Pengajian akademi al-Faqeh

Profil Umum

1 – Ditubuhkan dan didaftarkan di bawah akta syarikat pada tahun 2006.

2 – Beribu pejabat dan ber-operasi di alamat berikut:

35-A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja, Off Jalan Meru, 40100 Klang Selangor Darul Ehsan.

3 – Skop Pendaftaran: Pusat Pengajian

4 – Aktiviti Yang Dijalankan

a - Kelas Pengajian al-Qur’an
b - Kuliah Mingguan
c - Kursus Sifat Solat Nabi/Jenazah
d - Program Ramadhan
e - Kelas Bahasa Arab
f - Kursus-kursus di Organisasi tertentu (berdasarkan jemputan)
g - Ruqyah Syar’iyah.
h – Kursus Haji/Umrah.

5 – Terdiri dari tenaga pengajar yang kompeten dalam bidang pengajian agama (al-Qur’an, Qiraat, Tafsir, Hadis, Usuluddin)

Motto Kami

Berkomitmen dan Konsisten Dalam Menyebarkan Ilmu Yang bermanfaat Secara Berhikmah dan Berterusan Demi Untuk “Menghidupkan Sunnah Yang Tulen Dalam Masyarakat”


Matlamat Kami

1 – Mendekatkan diri dengan al-Qur’an dengan menunaikan enam (6) kewajiban utama:

a - Beriman sebenar-benarnya dengan al-Qur’an
b - Berupaya membaca al-Qur’an dengan tartil
c - Berusaha mengerti, memahami huraian dan tafsiran isi kandungan al-Qur’an
d - Beramal dengan bersungguh-sungguh segala isi kandungan al-Qur’an dalam kehidupan seharian
e - Bergiat cergas menyampaikan dakwah al-Qur’an kepada masyarakat
f - Bersedia setiap masa dalam mempertahankan kesucian al-Qur’an dari dipersenda-sendakan musuh.

2 – Beramal berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih menurut kefahaman generasi salafus soleh.

3 – Membebaskan diri dari kepercayaan dan amalan-amalan yang tidak ada dasarnya dari dua sumber utama agama Islam serta membebaskan kefahaman beragama dari segala bentuk syirik, bid’ah, khurafat, tahyul, dan seumpamanya.

4 – Bersama-sama terlibat dalam usaha dakwah mengajak masyarakat kepada as-Sunnah.

Pembinaan Prinsip & Manhaj Kami

1 – Menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih berdasarkan tafsiran (kefahaman) para salafus soleh sebagai pegangan.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)


2 – Ijma’ para salafus soleh dari golongan sahabat, tabi’in, dan tabi’ at-Tabi’in.


3 – Tashfiyah dan Tarbiyah sebagai prinsip meng-islahkan masyarakat dalam beragama.

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar (para sahabat) dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Petikan-petikan Kata Para Imam Sebagai Pedoman

Imam Malik Bin Annas Rahimahullah:

Jauhilah pendapat orang-orang yang (mengeluarkan pendapat) berdasarkan akal fikiran kecuali jika sudah disepakati oleh para ulama’ (ijma’). Ikutilah al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu oleh Tuhan kamu dan ikutilah Hadis yang telah diturunkan kepadamu oleh Nabi kamu. (Diriwayatkan oleh al-Sya’rani – al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 188)

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)

Imam Abu Hanifah rahimahullah:

Saya mengambil (hukum agama) dari kitab Allah (al-Qur'an); Apa yang saya tidak temui dalamnya, maka saya ambil dari sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika saya tidak temui dalam kitab Allah atau sunnah Rasulullah, nescaya saya ambil pula pendapat sahabat-sahabatnya. (Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jld. 13, ms. 368)

Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah pendapat aku itu. (Kata-kata oleh Abu Hanifah, Riwayat Salih al-Fulani di dalam Iqaz al-Himam, ms. 50.)

Apabila sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhab (peganganku) aku. (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abidin (1203H/1789M) di dalam al-Hasyiyah, jld. 1, ms. 63 dan Ibn al-Syuhnah di dalam Syarh al-Bidayah. Dari al-Syafi‘e, diriwayatkan al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 163 dan oleh al-Sya’rani di dalam al-Mizan, jld. 1, ms. 57)

Imam as-Syafi’e rahimahullah:

Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini. (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94)

Dalam setiap permasalahan, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti. (Kata-kata oleh as-Syafi’e Rahimahullah, Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lam al Muwaqqi‘in, jld. 2, ms. 363)

Apabila kamu dapati di dalam kitab-ku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka berpeganglah kepada Hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau tuliskan). (Kata-kata oleh as-Syafi’e Rahimahullah, Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di dalam al-Ihtijaj bi al-Syafi‘e, jld. 8, ms. 2 dan al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 63)

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:

Tidak ada perkataan sesiapapun melainkan boleh diterima perkataannya atau ditolak kecuali perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. (Riwayat Abu Daud di dalam Masa’il al-Imam Ahmad, ms. 276)

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah:

Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. (Rof’ al-Malam ‘an A’immat al-A’lam)